Panggung Dionysus yang terletak di selatan Acropolis, Athens menjadi ruang pementasan karya tokoh drama Sophocles, Euripides, Aeschylus dan Aristophanes. Periklis pernah menaja pementasan karya Aeschylus berjudul Persians.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pemimpin muda jadi wira rakyat, pendiri demokrasi

Oleh Hakim Hood

Periklis naik ke tampuk kuasa semasa kegawatan politik yang hebat melanda Athens. Negara kota itu sedang pulih daripada Perang Parsi yang dahsyat.

Muka depan buku Periklis: Athens & Kelahiran Demokrasi yang diterjemah oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dari naskhah asal Pericles of Athens and the Birth of Democracy karangan Donald Kagan

Sementara itu, muncul puak-puak yang cuba mengawal demokrasi yang baru lahir. Dalam suasana huru-hara ini, Periklis muncul sebagai pemimpin muda dan bercita-cita tinggi, bersedia untuk mengemudi Athens ke arah kegemilangan.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kuasanya, Periklis terpaksa melayari gelora politik Athens yang berbahaya terlebih dahulu. Dia bersekutu dengan tokoh terkenal dan berpengaruh Ephialtes, yang telah menyingkirkan kuasa dewan aristokrat Areopagus.

Pakatan ini meletakkan Periklis sebagai wira rakyat biasa, menyokong pembaharuan yang akan memperkasakan lagi kelas bawahan Athens.

Antara tindakan pertama Periklis sebagai pemimpin politik adalah memperkenalkan undang-undang yang menyediakan bayaran terus kepada mereka yang berkhidmat sebagai juri.

Ini ialah suatu langkah yang tekal berani, kerana ia membenarkan orang Athens yang miskin untuk mengambil bahagian dalam sistem perundangan dan menerima pampasan atas penglibatan mereka.

Dengan berbuat demikian, sokongan kelas bawahan terhadap Periklis bertambah kukuh. Periklis berjaya mengaut pengaruh politik yang besar.

Bawa pembaharuan

Pengaruh dan kuasa Periklis tidak terhad kepada pembaharuan dalam negeri. Sebagai seorang diplomat yang mahir, kecerdikan beliau terserlah dalam membentuk pakatan dan mengemudi persaingan yang rumit di antara pelbagai negara kota Yunani purba.

Keupayaan berundingnya tak terbanding, sehingga pakatan yang terjalin akhirnya memberi manfaat kepada Athens pada masa perang dan konflik.

Muka depan buku Pericles of Athens and the Birth of Democracy karangan Donald Kagan

Walaupun perjanjian dengan Sparta dan Peloponnesia teruji getir oleh krisis antara Athens dan Samos, namun kecerdasan diplomatik Periklis berjaya mempertahankan perjanjian tersebut.

Salah satu sekutu utama Athens ialah negara kota Megara. Pakatan Athens-Megara ini penting kerana ia memberi Athens akses kepada laluan perdagangan dan sumber hasil yang penting.

Keupayaan Periklis membentuk pakatan seperti ini menunjukkan pemikiran strategiknya yang tinggi dan kesungguhan usahanya menjaga kepentingan Athens.

Segala perancangan dan pengukuhan kuasa oleh Periklis ini tidaklah berhasil tanpa cabaran.

Tentangan datang daripada pesaing politik yang cuba melemahkan kuasanya, sekaligus mengetengahkan agenda mereka sendiri. Cleon muncul sebagai lawan yang hebat.

Dia sentiasa mengkritik dasar-dasar ciptaan Periklis dan cuba mempengaruhi pendapat umum terhadapnya.

Pemidato handal

Tanpa lelah, Periklis tetap gigih menghadapi cabaran ini. Menerusi karisma dan kemahiran retoriknya, Periklis berjaya mengungguli kepimpinan di Athens.

Beliau adalah seorang pemidato yang handal dan meyakinkan. Ucapan hebatnya mampu memikat perhatian penonton, apatah lagi beliau sering menekankan kepentingan demokrasi dan peranan penting Athens dalam membentuk masa depan Yunani.

Pada tahun-tahun awal kerjaya politiknya, Periklis meletakkan asas untuk pencapaian masa depannya. Pengukuhan kuasa dan keupayaannya membina pakatan menjadi pentas pembaharuan dan pencapaian budaya dalam mercu kepimpinannya.

Dengan wawasan dan visi yang jelas, kemakmuran dan kegemilangan Athens menjadi realiti di bawah kepimpinan demokratik Periklis.

 

Tulisan ini olahan bab 7 hingga 10 buku Periklis: Athens & Kelahiran Demokrasi (terbit 2017). Terjemahan Al-Mustaqeem M Radhi ini diambil daripada buku Pericles of Athens and the Birth of Democracy karangan Donald Kagan. Menulis berbelas-belas buah buku antara 1965 hingga 2013, Kagan seorang pakar sejarah Greece yang pernah dilantik profesor Universiti Yale, Amerika Syarikat. Kuliahnya tentang sejarah boleh ditonton di YouTube Yale Courses. Buku ini boleh dibeli di www.bukuibde.com


Pengarang :