Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pencemaran bau, majoriti wilayah dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebahagian besar kawasan yang terjejas bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Selangor semalam menerima bekalan penuh setakat 6 petang tadi.

Lima wilayah iaitu Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya, sementara Petaling pula dapat bekalan 98.9 peratus dan Klang (94.2 peratus).

“Sehingga jam 6 petang, status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 99.1 peratus.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, 12 Oktober,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan seperti biasa.

Syarikat itu turut menasihatkan pengguna yang sudah mendapat bekalan air menggunakannya secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, X dan laman sesawang https://www.airselangor.com/.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Senarai kawasan yang belum menerima bekalan air dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :