Orang ramai yang hadir bagi membeli barangan basah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Surau Al Amin Seksyen 18 Shah Alam pada 29 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk luar DUN Batu Tiga tidak lepas peluang hadir jualan murah

SHAH ALAM, 29 OKT: Hanya untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah, seorang lelaki sanggup memandu kira-kira 40 minit dari Puchong ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Surau Al-Amin, Seksyen 18 di sini.

Seorang pemandu lori Abu Bakar Hamzah, 50, mengakui sering mengikuti JER kerana barangan ditawarkan amat murah dan berkualiti berbanding di pasaran.

“Kalau tiada JER dianjurkan di Puchong saya akan cari di Shah Alam, memang dua lokasi ini kerap dikunjungi. Saya sering mengikuti Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tahu lokasi jualan.

Abu Bakar Hamzah, 50 ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Surau Al Amin Seksyen 18 Shah Alam pada 29 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Hari ini beli beras, ayam, telur, ikan dan beberapa barangan kering lain. Harap program ini dapat dianjurkan lebih kerap di satu-satu kawasan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Manakala, Nah Kim Hew, 53 mengakui JER amat membantu golongan kurang berpendapatan (B40) untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

“Saya berharap selepas ini pihak PKPS boleh banyakkan lagi nombor giliran supaya semua pengunjung dapat beli barangan dan tidak pulang dengan sia-sia,” jelasnya.

Suri rumah M Komathi, 38, pula berkata pembelian barangan seperti beras, telur, tepung pada hari ini adalah sebahagian untuk persiapan sambutan Deepavali yang tidak lama lagi.

“Terima kasih PKPS kerana menganjurkan JER dan saya berharap program jualan murah ini dapat dianjurkan lebih kerap apabila Deepavali semakin hampir,” katanya yang lebih 10 kali berkunjung ke JER.

M Komathi, 38 ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Surau Al Amin Seksyen 18 Shah Alam pada 29 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :