Sekitar Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pengunjung tertarik ekspo usahawan tawar produk menarik, harga patut

SHAH ALAM, 8 OKT: Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan pelbagai produk menarik pada harga berpatutan.

Pengunjung, Rohaya Mohd Ali, 53, berkata beliau terkejut melihat aneka pilihan produk makanan sejuk beku yang ditawarkan pada pameran jualan itu.

Rohaya Mohd Ali

“Saya datang ke sini bersama keluarga. Sambil berjalan, saya juga mencari produk makanan sejuk beku untuk dijadikan stok di kedai makan saya.

“Banyak juga pilihan yang saya temui. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan mungkin selepas buat tinjauan saya akan beli di sini sahaja,” kata pengusaha kedai makanan itu.

Ahmad Shukor Ahmad Zaki

Pereka grafik sambilan, Ahmad Shukor Ahmad Zaki, 30, pula berkata beliau teruja menemui syarikat percetakan yang memenuhi kriteria selain menawarkan harga rendah.

“Saya mencari syarikat percetakan yang baik. Tidak banyak perusahaan yang boleh menghasilkan kualiti yang menepati citarasa saya,” katanya yang mengetahui mengenai program itu menerusi Facebook.

SELBIZ 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) menghimpun 200 reruai jualan dengan sasaran potensi nilai jualan lebih RM1 juta dalam penganjuran keduanya tahun ini.

Ekspo usahawan yang bermula semalam hingga hari ini menampilkan pelbagai program seperti jualan fiesta kopi, cabutan bertuah, larian santai dan ceramah keusahawanan.


Pengarang :