Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Azman Ismail (kiri) meninjau reruai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ketika Persidangan Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan (ICAN 2023), pada 3 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Persepsi makan organ binatang boleh tingkatkan kolestrol hanya mitos – pakar

BANGI, 3 OKT: Tanggapan bahawa memakan organ dalaman haiwan ternakan tidak baik untuk kesihatan dan boleh meningkatkan kolestrol dalam badan hanyalah mitos, kata Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Azman Ismail.

Beliau berkata persepsi itu tidak benar sama sekali dan ia disebabkan konsep kolestrol itu tidak difahami dengan jelas oleh sebahagian besar masyarakat, malah kadang kala dalam kalangan doktor sendiri.

“Konsepnya adalah sangat kompleks, yang mana ia (kolestrol) terdiri daripada pelbagai jenis dan antaranya ialah kolestrol ‘Small Dense Low-density lipoprotein’ (LDL) yang sebenarnya bahaya untuk kesihatan serta ‘large and fluffy cholestrol’ yang baik untuk kesihatan.

“Hormon badan dan otak kita semua memerlukan kolestrol ‘large and fluffy’ semulajadi yang lazimnya datang daripada lemak-lemak dan organ haiwan ternakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan Keenam (ICAN) 2023 di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga doktor perubatan nutrisi berkata malah seseorang itu berisiko mendapat penyakit Dimensia dan Alzheimer jika mereka kurang mengambil makanan berkolestrol baik untuk perkembangan otak.

Beliau turut menjelaskan organ haiwan adalah baik untuk kesihatan kerana ia tergolong dalam kolestrol baik dan masalah saluran darah tersumbat yang lazimnya dikaitkan dengan pengambilan makanan itu sebenarnya adalah disebabkan pengambilan itu ‘refine sugar’, karbohidrat seperti tepung yang boleh menghasilkan ‘small dense’ LDL.

“Badan kita memerlukan kolestrol yang baik untuk menyerap nutrien jadi kebanyakannya datang daripada lemak haiwan maka ia adalah selamat untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Dr Azman berkata prestasi ternakan optimum mesti dicapai dalam usaha memenuhi permintaan global untuk daging, susu dan telur memandangkan makanan ternakan memainkan peranan penting dalam pembangunan serta kemampanan industri ternakan global.

Katanya menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), ternakan menyumbang 40 peratus daripada nilai global pengeluaran pertanian dan menyokong mata pencarian, keselamatan makanan dan pemakanan hampir 1.3 bilion orang.

“Permintaan untuk protein haiwan di seluruh dunia juga meningkat setiap tahun yang mana FAO juga menganggarkan bahawa pada tahun 2050, permintaan untuk makanan akan meningkat 60 peratus dan pengeluaran protein haiwan dijangka meningkat sekitar 1.7 peratus setahun,” katanya.

ICAN 2023 yang bertemakan “Strategi Pemakanan Untuk Meningkatkan Kecekapan Makanan Dan Keselamatan Makanan” menghimpunkan kira-kira 120 peserta tempatan dan antarabangsa terdiri daripada pakar-pakar nutrisi makanan haiwan.

– BERNAMA


Pengarang :