PENDAPATRENCANA

Pertembungan teori evolusi dan agamawan

Teori evolusi hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini. Ia bermula apabila seorang agamawan mencadangkan karya Manusia Sebelum Adam dan Genesis II: Sapien & Neo-Manusia diharamkan kerana karya-karya tersebut mendakwa manusia berevolusi daripada beruk.

Sebagai penulis Genesis II: Sapien & Neo-Manusia, saya tidak pernah menyatakan manusia berevolusi daripada beruk. Malah, tokoh biologi Charles Darwin sendiri tidak pernah membawa gagasan manusia berevolusi daripada beruk.

Rentetan itu, muncul pelbagai pandangan teori evolusi dan hubungannya dengan Islam. Di Malaysia tipikalnya pandangan-pandangan itu sering terarah teori evolusi dan Islam berselisih antara satu sama lain.

Perselisihan berlaku kerana Nabi Adam tidak berevolusi, tetapi dicipta – sekali gus menolak kejadian evolusi pada organisma hidup lain. Tetapi betulkah pandangan ini? Sebelum itu, mari kita berkenalan dulu dengan teori evolusi.

Fakta atau teori?

Dalam biologi, evolusi merujuk pada perubahan. Evolusi terbahagi kepada dua secara umum iaitu evolusi mikro dan evolusi makro. Mikroevolusi ialah perubahan yang berlaku di dalam spesies. Misalnya dalam spesies H. sapiens, perbezaan antara kita seperti warna mata, warna rambut, warna kulit, ketinggian dan pelbagai lagi merupakan evolusi mikro.

Sama juga seperti dalam kalangan kucing belaan (spesis F. catus). American Bobtail, Bengal, Foldex, Minskin dan lebih 70 baka kucing lain adalah contoh evolusi mikro.

Terdapat evolusi mikro tidak lazim seperti etnik Bajau Laut berupaya menyelam dalam air selama 13 minit tanpa bantuan kerana mereka berevolusi mempunyai limpa besar. Bangsa Tibet juga berevolusi sehingga membolehkan mereka hidup secara normal di kawasan tekanan udaranya rendah.

Evolusi makro pula ialah perubahan dari satu spesies kepada satu spesies. Misalan paling dekat dengan kita ialah evolusi jagung liar (spesis Z. diploperennis) menjadi jagung moden (spesies z. mays) yang dapat kita makan pada hari ini melalui pembenihan terpilih sejak 9,000 tahun lalu.

Kambing biri-biri (sheep) berevolusi daripada leluhur liarnya iaitu spesies Ovis gmelini. Pada sekitar 12,000 tahun lalu, manusia mula membela kambing liar ini untuk mendapatkan daging, susu dan kulitnya.

Pada 8,000 tahun lalu, manusia mula membiakkan kambing yang bulunya lebih lebat. Dalam populasi kambing liar, manusia hanya menjaga, membela dan membiarkan kambing yang bulunya lebat sikit berbanding kambing lain.

Perbezaan kelebatan bulu mungkin tidak begitu ketara, tetapi sekitar 3,000 tahun kemudian, spesies kambing baharu pun muncul iaitu Ovis aries – kambing biri-biri.

Bukan bulunya sahaja lebat, tetapi tidak bertanduk lagi. Seperti jagung moden, kambing biri-biri tidak lahir di dunia rimba, tetapi lahir hasil pembiakan terpilih oleh manusia. Evolusi juga berlaku ke atas virus seperti Covid-19 sehingga melahirkan pelbagai varian seperti Omicron, Delta, Alpha dan sebagainya.

Tuntas, kejadian evolusi fenomena benar-benar berlaku. Jika evolusi tidak terjadi, kita tidak akan dapat saksikan kewujudan haiwan ternakan dan pelbagai buahan moden hari ini. Jadi, kenapa evolusi dipanggil sebagai teori?

Perkara yang kita kena jelas adalah teori saintifik bertanggungjawab untuk menjelaskan suatu kejadian. Evolusi merupakan fenomena alam dan teori evolusi berperanan menjelaskan bagaimana evolusi berlaku.

Graviti juga fenomena alam dan teori graviti berperanan menjelaskan bagaimana graviti terjadi. Sebab itulah ada pelbagai teori evolusi seperti teori Lamarck, teori Darwin, teori Sintesis Moden, teori Neo-Lamarckism dan sebagainya.

Selagi namanya teori, ia boleh ditentang dan itulah sifat semulajadi kajian sains. Tetapi setakat ini, teori Sintesis Moden (kadangkala dipanggil teori Neo-Darwin) merupakan teori terbaik setakat ini bagi menjelaskan fenomena evolusi. Maka, teori evolusi tidak sama dengan fenomena evolusi sepertimana teori graviti tidak sama dengan fenomena graviti.

Pertembungan ajaran

Kejadian evolusi bertembung dengan ajaran Islam apabila melibatkan kejadian Nabi Adam. Dalam Islam, Adam merupakan makhluk yang tidak mengalami proses evolusi. Baginda dicipta secara langsung.

Kejadian ini tidak seperti benda hidup lain yang Tuhan cipta melalui proses evolusi. Pertembungan inilah yang menatijahkan ramai agawaman Islam di Malaysia menolak evolusi tanpa memahami konsep evolusi itu sendiri.

Malah, apabila disebut evolusi, kebanyakan mereka hanya memahami perkataan “teori Darwin”. Menolak teori Darwin bermaksud menolak keseluruhan fenomena evolusi.

Golongan ini dipanggil sebagai Creationist – golongan yang menolak kejadian evolusi seperti Harun Yahya dan Zakir Naik. Dengan kata lain, evolusi bukan sahaja tidak berlaku pada manusia, tetapi juga tidak berlaku pada benda hidup lain.

Agamawan Islam di Barat agak terkehadapan dan celik dalam perbahasan ini. Rata-rata mereka memahami konsep evolusi. Dalam berhadapan dengan pertembungan antara penciptaan Nabi Adam dan evolusi, kita dapat kelaskan mereka pada tiga golongan utama iaitu:

(i) Pengecualian Manusia – agamawan Islam yang percaya evolusi itu benar tetapi hanya berlaku pada semua benda hidup kecuali manusia seperti Yasir Qadhi dan Nazir Khan.

(ii) Pengecualian Adam – agamawan Islam yang percaya evolusi berlaku pada semua benda hidup termasuk manusia kecuali Adam a.s seperti Soloman Jalajel.

(iii) Evolusionis – agamawan Islam yang percaya semua benda hidup termasuk manusia dan Adam melalui evolusi seperti Rana Dajani dan Mohamed Iqbal.

Kesimpulannya, kita boleh mengakui kejadian evolusi tanpa menafikan penciptaan Nabi Adam secara langsung seperti kita yakin persenyawaan sperma ovum berlaku untuk melahirkan manusia baharu tanpa menafikan kelahiran Nabi Isa yang lahir tanpa proses tersebut.


Pengarang :