Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta pelbagai agensi lain menyertai Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang serta sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto MPAJ
ADNSELANGOR

Peruntukan khas mampu elak tanah runtuh cerun berisiko

AMPANG JAYA, 15 OKT: Peruntukan khas disalur kerajaan untuk pembaikan cerun mampu mengelak kejadian tanah runtuh di kawasan titik panas sekitar Ampang, menurut ahli Parlimennya.

Rodziah Ismail berkata kajian Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapati 118 cerun berisiko perlu melalui proses penyelenggaraan membabitkan Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa, Pandan dan sebahagian kawasan di Lembah Jaya.

“Semasa diberi mandat jadi ahli Parlimen, saya nampak ada ‘loophole’ (kelemahan) di peringkat belanjawan tahun lepas kerana tiada bajet penyelenggaraan (cerun). Jadi beberapa kali saya tekankan perkara ini dalam Dewan Rakyat.

“Alhamdulillah, (kelmarin) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum peruntukan RM563 juta bagi tujuan itu di seluruh negara. MPAJ sudah kenal pasti titik panas (cerun berisiko).

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita mengharapkan MPAJ dapat memanggil lot persendirian (berhampiran cerun) yang ada risiko supaya mereka tahu keadaan semasa (cerun) di kawasan masing-masing sama ada sederhana atau kritikal,” katanya.

Beliau ditemui selepas sambutan Hari Sungai Sedunia dan program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di Sungai Ampang, Kampung Muhibah Lembah Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah memberitahu akan membawa usul dalam sesi perbahasan belanjawan minggu depan supaya peruntukan bagi kawalan cerun diaktakan sebagaimana dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“Jadi mahu atau tidak, peruntukan itu (kawalan cerun) mesti disediakan sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap mereka yang tinggal berhampiran cerun. Mereka akan berasa lebih selamat,” katanya.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (dua, kanan) meninjau sungai selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada Jumaat, Anwar berkata peruntukan itu disediakan bagi proses pembaikan lebih 2,000 cerun berisiko tinggi di seluruh negara.

Kos itu termasuk program pemantauan, pencegahan, pelaporan dan amaran awal bertujuan mengekang insiden tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali hujung tahun lalu.


Pengarang :