Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pesara kerajaan rugi lebih RM120,000 terpedaya sindiket tipu hantar barang

IPOH, 24 OKT: Seorang wanita pesara kerajaan kerugian RM127,560 akibat diperdaya sindiket penipuan penghantaran barang dengan menggunakan modus operandi penipuan panggilan atau phone scam, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 61 tahun itu menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 25 September lepas, memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier dan menyatakan pengadu mempunyai satu bungkusan yang bermasalah.

“Pengadu telah disambungkan kepada talian ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang’ oleh pekerja syarikat kurier dan telah bercakap dengan ‘Inspektor’ dan ‘Sarjan’.

“Pengadu telah diperdayakan oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai polis untuk mengemukakan gambar muka hadapan kad bank miliknya kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengadu hanya sedar tentang penipuan berkenaan setelah anak perempuannya memeriksa telefon bimbit miliknya itu.

“Dalam kes ini, pengadu mengalami kerugian sejumlah RM127,560 dalam tiga transaksi ke tiga akaun bank milik individu berlainan sepanjang tempoh antara 9 hingga 10 Oktober,” katanya.

Mohd Yusri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan khususnya yang meminta maklumat akaun bank peribadi mahupun meminta melakukan pemindahan atau pembayaran wang ke akaun bank lain.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika mereka merupakan mangsa penipuan phone scam atau jenayah siber dan baru sahaja membuat transaksi ke akaun keldai, selain menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dalam kes penipuan melalui pautan semakmule.rmp.gov.my

– BERNAMA


Pengarang :