Penduduk tidak ketinggalan mendapatkan bahan mentah yang dijual dalam Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Taman Tun Perak pada 19 Oktober 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pesara manfaatkan jualan murah sejak tahun lepas beli keperluan asas

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

KAJANG,19 OKT: Seorang pesara memanfaatkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tahun lalu untuk mendapatkan barangan asas.

Selain harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran, Hasnah Sarul, 63, menjelaskan barangan dapur yang dijual juga berkualiti dengan pelbagai pilihan menarik.

Hasnah Sarul

“Saya cukup gembira apabila dapat berbelanja di JER. Bahan mentah berkualiti dan murah, pastinya meringankan sedikit jumlah perbelanjaan bulanan dengan ‘membeli-belah’ di sini,” katanya.

Suri rumah, Nurul Nadiah Mohd Hamdan, 30, yang pertama kali berkunjung ke JER gembira dapat membeli dua ekor ayam, beras dan telur dengan hanya RM50 untuk keperluan keluarga.

“Saya bersyukur dapat berbelanja di sini. Jika ada lagi jualan murah, saya pasti tidak lepaskan peluang walaupun perlu beratur panjang,” katanya yang hadir bersama ibu mentua.

Warga emas, Mustapa Sahri,63, pula sanggup beratur awal pagi untuk mendapatkan nombor giliran bagi membolehkannya membeli ayam dan telur, dua produk paling laris dalam jualan itu.

Mustapa Sahri

“Alhamdulillah saya dapat beli ayam, daging dan ikan. Walaupun ada jumlah had yang ditetapkan, bersyukur boleh berbelanja lebih untuk barangan rumah yang lain,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :