Ramesh G Subramaniam, 56, bersama Indira Gahdi Gopal, 50 dihadapan kendera saji ketika tinjauan perniagaan peserta program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) di Tapak perniagaan HM Cuisine, Klang pada 9 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program Sitham peruntuk RM300,O00 bantu OKU, belia kembang niaga

SHAH ALAM, 25 OKT: Sejumlah RM300,000 diperuntuk bagi membantu usahawan India daripada golongan orang kurang upaya dan belia mengembangkan perniagaan pada tahun hadapan.

Pengurus program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Kenneth Sam berkata pihaknya memberi fokus kepada dua golongan terbabit berikutan kurangnya penyertaan mereka dalam bantuan disediakan Kerajaan Negeri.

“Hasil kajian, kita dapati pembabitan dua golongan ini ada tetapi kurang berbanding penyertaan ibu tunggal dan wanita. Kita mahu bantuan disediakan ini seimbang dan memanfaatkan semua golongan.

“Selain itu, kita akan bantu memasarkan produk usahawan Sitham ke peringkat antarabangsa dalam bantu tingkatkan pendapatan. Kita sasar dua jenis produk iaitu tekstil serta makanan dan minuman yang menggunakan teknologi retort,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis taklimat dan penghargaan ketua komuniti India Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 40 individu dilantik ketua komuniti India bagi sesi 2021/2022 menerima sijil penghargaan atas khidmat bakti dan sokongan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mearia Hamzah.

Dalam pada itu, ketua komuniti India Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Bukit Tinggi, J. Arulnesan berkata beliau telah menganjurkan dua program bantuan untuk usahawan India mengembangkan perniagaan.

“Kerajaan Negeri ada sediakan bantuan tetapi kadangkala mereka tidak tahu bagaimana hendak mendapatkannya. Jadi, sebagai ketua komuniti India, peranan kami memberi penerangan supaya bantuan disediakan sampai kepada usahawan.

“Selain itu, penambahan bantuan kepada RM5,000 adalah tepat pada masanya kerana kita dapat tambah baik program untuk usahawan,” katanya.

Sementara itu, ketua komuniti India DUN Kinrara, Dr Melissa Mages berkata beliau kini sedang mengendalikan program bantuan membantu suri rumah dan ibu tunggal memulakan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual kuih tradisional.

“Saya sasar seramai 20 individu terima manfaat daripada program bantuan ini dan setidaknya membantu golongan ini menjana pendapatan sendiri.

“Dengan pengalaman pernah bekerja di pejabat ahli parlimen, ini memudahkan saya mendekati golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :