SHAH ALAM, 31 OKT: Seramai 12,000 asnaf disasar menerima manfaat menerusi pelbagai program bantuan yang dilaksanakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnafnya Md Yusmizan Yusof berkata skuad menjejak kemiskinan digerakkan untuk mencari seberapa ramai asnaf sekali gus memastikan tiada keluarga tercicir untuk menerima bantuan.
“Kami juga mempunyai kira-kira 1,800 penolong amil kariah untuk mengesan mereka yang tercicir memerlukan bantuan sama ada di di kawasan bandar atau luar bandar.
“Setakat ini, hampir 10,000 asnaf telah disantuni dengan kerjasama pelbagai agensi melalui skuad jejak kemiskinan yang diwujudkan di setiap masjid dan daerah di Selangor.
“LZS telah memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk bantuan kewangan bulanan, RM100 juta untuk bantuan perubatan seperti dialisis dan RM1 juta untuk bantuan makanan asas kepada asnaf,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan LZS buat asnaf miskin kepada lima bekas kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad di Dewan Al-Hafiz, Jalan Kebun, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md Yusmizan berkata pelbagai faktor menjadi penyebab seseorang itu menjadi asnaf seperti dibuang kerja dan tahap kesihatan mereka yang merosot.
“Kita akan semak bagi menentukan mereka yang layak menerima bantuan LZS dengan had kifayah sebanyak RM2,990.
“Sekiranya layak, kita akan menyalurkannya bantuan asas termasuk kewangan dan tempat tinggal,” katanya.