EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin melawat ke reruai selepas menghadiri Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rawatan kesihatan ‘tepat’ berdasar genetik pesakit makin berkembang, lebih berkesan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Rawatan kesihatan tepat (precision health) mengikut keperluan setiap pesakit antaranya perbezaan genetik berpotensi merevolusi penjagaan kesihatan di negara ini pada masa depan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata kemajuan teknologi perubatan itu mampu mengenal pasti, menangani sesuatu penyakit lebih awal dan mencegahnya daripada menular.

“Pendekatan baharu penjagaan kesihatan ini mengambil kira perbezaan individu dalam genetik, persekitaran dan gaya hidup. Dengan mempertimbangkan faktor itu, kaedah ini boleh meningkatkan keberkesanan rawatan penyakit.

“Apabila teknologi terus berkembang, kesihatan tepat memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan individu dan populasi. Kita percaya ia mampu menyelesaikan masalah kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berucap ketika Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jamaliah berkata persidangan itu membincangkan secara khusus berhubung kepentingan kesihatan tepat yang kini digunakan dan menunjukkan keberkesanannya.

Beliau memberi contoh ketika ini ia digunakan untuk rawatan pesakit barah selain pembangunan rawatan baharu yang kurang berbahaya berbanding rawatan tradisional untuk penyakit yang jarang berlaku.

“Kaedah ini juga digunakan untuk membangunkan pelan pemakanan peribadi dengan mengambil kira faktor individu seperti genetik, gaya hidup dan pilihan selain penjagaan kesihatan mental yang membantu orang ramai mengurus kesihatan mental mereka,” katanya.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin melawat ke reruai selepas menghadiri Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :