Pemilik Makanhubb Siti Aishah Mohammad Hanif menunjukkan produk makanan nya ketika di temu ramah Media Selangor di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rezeki ‘langgar dinding’, Makanhubb terus berkembang maju

Ketika ramai usahawan gulung tikar angkara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, hal sebaliknya berlaku kepada Siti Aishah Mohammad Hanif yang berniaga masakan pasta.

Dengan meraih RM7,000 pada bulan pertama, nilai jualan makanan tersebut melonjak lebih lima kali ganda iaitu RM40,000 sebulan selepas tiga bulan produk itu dipasar dalam talian.

Masakan seperti aglio olio, bolognese, carbonara menjadi pilihan ramai. Mungkin pembeli mahu menikmati cita rasa makanan luar lantaran terkurung di rumah sepanjang tempoh tersebut.

“Masak dan bungkus, hantar ke kilang untuk retort. Saya ada kira-kira 200 ejen, jual dalam talian. Dalam masa setahun, cecah RM300,000 jualan,” kata wanita berusia 39 tahun itu.

Sambutan hangat mendorong beliau bersama suami membuka kedai fizikal di Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada tahun berkenaan. Jenama Makanhubb yang popular dalam talian dikekalkan.

Meski nilai jualan tidak serancak semasa PKP fasa pertama, ibu kepada empat anak itu berupaya meraih keuntungan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Kini, Makanhubb bakal menembusi 80 cawangan pasar raya Segi Fresh dan 70 pasar raya Lotus’s di seluruh negara. Semuanya berkat bimbingan program keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disertai Siti Aishah pada awal tahun ini.

Lebih membanggakan bekas pramugari itu, ramai pengedar daripada negara luar antaranya Singapura, Vietnam, Korea Selatan dan China berminat untuk mengimport produk Makanhubb.

Pemilik Makanhubb Siti Aishah Mohammad Hanif melakukan proses bungkus pada produk makanan nya ketika di temu ramah Media Selangor di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum perniagaan itu berkembang maju, Siti Aishah sebenarnya lama bergelumang dalam dunia niaga. Sejak tamat sekolah pada 2001, beliau bersama ibunya menjual pakaian di pasar malam.

Bukan sedikit cabaran ditempuhi. Selain kerap berpindah lokasi, beliau biasa bertegang urat dengan samseng yang ‘mengawal’ petak niaga. Mereka juga berniaga di kawasan pejabat atau mengadakan jualan garaj dengan menyewa halaman rumah yang difikirkan strategik.

“Bergaduh berebut tapak, angkat barang berat, jadi perkara biasa. Masa berniaga, adik-adik tidur dalam van, semua itu biasa,” kata anak jati Kuala Lumpur itu kepada Selangorkini pada 2 Oktober.

Penglibatannya tidak terhenti meski Siti Aishah menjadi pramugari pada 2004. Sebelah pagi berkebaya batik dan bersanggul di awan biru, sebelah petang menjual pakaian di pasar malam. Anak sulung daripada 15 beradik itu gigih membantu ibunya, seorang ibu tunggal, untuk menyara kehidupan.

Rugi besar

Beliau berhenti kerja itu semasa hamil pada 2009. Wanita itu kemudian menyewa kedai di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bangi dan tiga lagi di Kenanga Wholesale City (KWC) Kuala Lumpur pada 2009.

Meski mengecap laba hampir sembilan tahun, Siti Aishah berdepan kerugian RM300,000 pada 2018 lantaran isu stok dan kos promosi berlebihan termasuk menaja artis dan pertunjukan fesyen.

“Masa itu terlalu agresif. Belanja besar promosi dan ambil stok terlalu banyak dari Vietnam, Indonesia dan China. Bila sampai kualiti tidak sama. Jahitan tidak kemas, warna lari.

“Beli stok lebih RM200,000. Mahu atau tidak, terpaksa jual murah. Barang yang sepatutnya dijual RM40 terpaksa dijual harga RM10. Itupun tidak habis,” kata beliau.

Pemilik Makanhubb Siti Aishah Mohammad Hanif menunjukkan produk makanan nya ketika di temu ramah Media Selangor di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Akibatnya, tiga kedai di KWC terpaksa ditutup bagi menampung kerugian. Hanya sebuah di Kompleks PKNS Bangi bertahan. Kemudian gerai itu diserah kepada adiknya pada 2019.

Setahun selepas itu, Siti Aishah menceburi perniagaan makanan. Pada 2020, beliau mendapat geran SME Corporation Malaysia (SME Corp) bernilai RM150,000 untuk membeli mesin retort dan kos ubah suai kedai.

Ini membuka peluang kepadanya menawarkan perkhidmatan makanan retort kepada orang ramai termasuk ibu bapa yang mahu membekal makanan untuk anak-anak di sekolah berasrama.

Penyertaan Siti Aishah dalam program usahawan PKNS membawa beliau ke pelbagai ekspo untuk padanan perniagaan seterusnya memperoleh pelanggan besar seperti pasar raya Segi Fresh dan Lotus’s.

“Bila masuk program PKNS, mentaliti saya bertukar. Sebelum ini, hanya fikir cari ejen ‘dropship’, jual dalam talian, TikTok semua itu tetapi sekarang nampak lebih besar (luas).

“Jadi, sesiapa yang hendak berniaga, pergilah belajar dengan PKNS. Kalau boleh jangan langgar dinding macam saya,” katanya merujuk kegagalan perniagaannya sebelum ini.

Selain bantuan SME Corp dan PKNS, beliau juga ada menerima geran Koperasi Warga Hijrah untuk membeli tangki air, dua komputer riba, mesin penggoreng dan penjana kuasa.

Kini, Siti Aishah berusaha memperoleh pensijilan Makanan Selamat tanggungjawab Industi (MeSTI) dan sijil halal. Beliau yakin pensijilan itu bakal memajukan lagi perniagaannya.


Pengarang :