Pasar Malam Keramat Permai, Ampang Jaya. Foto FIKRI YUSOF
AGENDANASIONAL

RM110 juta naik taraf pusat penjaja, pasar awam uzur

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kebajikan penjaja dan peniaga di pasar akan terus dipelihara dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bagi memastikan keselesaan mereka dan pengunjung.

Untuk itu, beliau berkata RM110 juta akan diperuntukkan pada tahun depan bagi membaik pulih dan menaik taraf pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur dengan harapan ia dapat mengangkat dan memartabatkan ekonomi rakyat, selain membolehkan negara dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah serta selamat.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyasarkan sebanyak 10,000 gerai dan warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta.

“Sebanyak 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat turut akan dibina di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan RM50 juta, selain kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran sewa kiosk bagi enam bulan pertama untuk rakyat berniaga,” ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 Nov 2022.

Anwar berkata bagi memperkasakan lagi usaha itu, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut menaik taraf kemudahan perniagaan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :