Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wayne Ong Chun Wei (empat dari kiri) melawat Dewan Komuniti Batu 11 Cheras pada 25 Oktober 2023. Foto Facebook Wayne Ong Chun Wei
ADNSELANGOR

RM286,000 diperuntuk baik pulih dewan komuniti, jangka siap awal 2024

SHAH ALAM, 27 OKT: Sejumlah RM286,000 diperuntuk bagi membaik pulih Dewan Komuniti Batu 11, Cheras, maklum Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong.

Wayne Ong Chun Wei berkata peruntukan itu merupakan dana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diselia Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Dewan ini ditutup kira-kira dua tahun selepas banjir besar pada 2021, banyak peralatan dan infrastruktur rosak selain semak samun kerana tidak diurus.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wayne Ong Chun Wei melawat Dewan Komuniti Batu 11 Cheras pada 25 Oktober 2023. Foto Facebook Wayne Ong Chun Wei

“Oleh itu, kita mengambil inisiatif memohon dana daripada KPKT bagi kerja baik pulih supaya ia berwajah baharu dan kembali dibuka kepada orang awam,” katanya ketika dihubungi.

Diusahakan sejak mantan ADN Balakong sebelum ini, Wayne bersyukur akhirnya usaha mereka berjaya dengan sokongan pelbagai pihak.

“Kerja baik pulih dewan ini bermula minggu lepas dan dijangka siap awal tahun depan. Kita yakin selepas ini ramai memanfaatkan dewan ini memandangkan lokasinya strategik.

“Selain gelanggang badminton, orang awam terutama penduduk setempat boleh menganjurkan pelbagai majlis keraian di sini. Terima kasih KPKT dan MPKj,” ujarnya.


Pengarang :