EXCO Sumber Manusia V Papparaidu pada sidang media sambutan Deepavali 2023 di pejabat EXCO Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 30 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sambutan Deepavali peringkat negeri di Klang Sabtu ini

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis sambutan perayaan Deepavali peringkat negeri akan berlangsung di tempat letak kereta Dataran Klang@Padang Chetty pada 4 November ini.

EXCO sumber manusia dan pembasmian kemiskinan berkata rumah terbuka mulai 7 hingga 11 malam dijadual dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut V Papparaidu, sambutan yang mengangkat tema ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ turut menyajikan persembahan tradisional selain penyampaian bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua hadir ke sambutan ini dan kita jangka kehadiran 2,000 hingga 5,000 pengunjung.

“Saya yakin perayaan ini akan disambut dengan penuh semangat muhibah kerana sambutan sebegini dapat memupuk tali persaudaraan dan keharmonian yang lebih kukuh dalam kalangan semua kumpulan etnik di Selangor,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan menyampaikan duit raya pada Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media hari ini, Papparaidu berkata rakyat perlu sentiasa berusaha memupuk dan mempertahankan semangat murni serta kerjasama antara kaum kerana ia menjadi tonggak kekuatan dan teladan di mata dunia.

“Lazimnya di Malaysia apabila tiba perayaan bagi sesuatu kaum seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa pasti akan sama-sama berkumpul dan berkongsi hari yang penuh istimewa dalam suasana perayaan yang sungguh meriah dan berwarna-warni, inilah istimewanya dan uniknya negara kita yang perlu dijaga dan pelihara sebaiknya,” katanya.

Beliau menambah RM590,000 diperuntuk kepada 147 pelajar India untuk melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan RM515,000 untuk 53 kuil bagi program pembangunan modal insan yang mana simbolik penyerahan akan dibuat pada hari sambutan itu.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin kepada semua kaum dan agama. Ini adalah satu contoh kita ada peruntukan kepada kuil dan pelajar miskin di Selangor yang memerlukan bantuan kewangan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi,” katanya.


Pengarang :