Anggota penguat kuasa MPS menyita gerai penjaja haram di sekitar Pasar Borong Selayang dalam Operasi Bersepadu pada 13 Februari 2020. Foto ihsan MPS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor cari formula, tangani isu warga asing monopoli sektor perniagaan

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Selangor mencari formula bagi menangani isu warga asing yang memonopoli sektor perniagaan di negeri ini termasuk penguatkuasaan ketat, kata EXCO sumber manusia.

V Papparaidu menjelaskan kebanyakan golongan itu yang diimport untuk bekerja dalam sektor perindustrian, pengeluaran dan perkhidmatan beralih ke bidang perniagaan hingga menutup ruang buat warga tempatan.

“Isu ini sangat besar di Selangor kerana warga asing yang diimport bekerja dalam sektor berkaitan telah tukar ke bidang perniagaan, malah kebanyakan jadi ‘tauke’. Mereka sepatutnya kena ikut tatacara.

“Di pasar Selayang misalnya hari ini dikawal golongan terbabit dan mereka sepatutnya tidak boleh buat kerja itu kerana tidak adil buat rakyat tempatan. Perkara ini perlu segera diselesaikan agar peluang perniagaan kembali diserah kepada orang tempatan.

“Saya percaya jika kita berganding-bahu dengan Jabatan Imigresen, polis dan pihak berkuasa tempatan, isu ini boleh dikendali secara tuntas. Kita ada polisi tetapi penguatkuasaan kena lebih ketat,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pentadbiran ini juga akan mencadangkan kepada kementerian berkaitan supaya mewajibkan majikan membina atau menyediakan penempatan khusus sebelum mengambil warga asing bekerja dalam sektor tertentu.

Papparaidu menjelaskan ia juga harus dijadikan syarat kelulusan permit pengambilan pekerja asing berikutan lambakan warga asing dikesan mendirikan penempatan di kawasan penduduk tempatan hingga menimbulkan isu sosial dan pembuangan sampah-sarap.

“Misalnya ada industri besar akan dibangunkan di Selangor kelak seperti Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan (IDRISS) dan ia sudah tentu memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Jadi syarikat atau majikan kena buat penempatan khusus untuk warga asing baru kita boleh beri kelulusan permit. Dalam masa terdekat saya akan bertemu Menteri Sumber Manusia V Sivakumar untuk bincang lebih mendalam hal ini,” katanya lagi.


Pengarang :