Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan simposium prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor mahu manfaatkan peluang ekonomi baharu jayakan pelan RS-1

SHAH ALAM, 26 OKT: Selangor yang berwawasan sebagai pintu masuk Asean berada dalam posisi terbaik untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Sebagai gedung ekonomi negara, Dato’ Menteri Besar berkata peluang tersebut dapat dicapai dengan mengukuhkan sistem dwifungsi kerajaan yang berteraskan rakyat dan mesra perniagaan.

“Ini amat penting bagi merealisasikan peluang yang dibangunkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) terutama tiga wilayah ekonomi baharu meliputi Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan (IDRISS).

“(Selain itu), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) serta Gerbang Maritim Selangor (SMG) di sepanjang jajaran Sungai Klang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Mengulas sesi libat urus bersama Menteri Pelaburan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa, beliau berkata Selangor komited menjayakan prinsip panduan (guiding principle) NIMP 2030.

Mengambil iktibar Krisis Kewangan Asia pada 1997, jelasnya, ketiadaan pengganti untuk menawarkan peluang kerja dalam bidang baharu menyebabkan negara bergantung kepada gaji rendah dan buruh asing.

“Kepentingan negeri dan persekutuan berada dalam hala tuju serta landasan sama terserlah apabila Kerajaan Selangor dan Kementerian Pelaburan menjayakan sesi libat urus bagi dua perkara.

“Pertama sebagai persiapan merangka Belanjawan Selangor 2024 dan kedua membuka pintu kepada kerjasama bagi industri negeri khususnya peluang baharu dalam NIMP 2030,” kata Amirudin.

Menurutnya lagi, pelan induk yang dibentangkan perdana menteri bulan lalu mewujudkan ekonomi yang mempunyai nilai tambah seperti bidang pembuatan, aeroangkasa, farmaseutikal dan industri halal.

Pada 1 September, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekata NIMP 2030 menetapkan empat misi untuk memacu transformasi industri iaitu memajukan ekonomi dan berdaya maju dalam teknologi.

Misi lain, katanya, menumpukan untuk mencapai pelepasan sifar bersih bagi membina ekonomi berdaya tahan serta menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi.


Pengarang :