SHAH ALAM, 20 OKT: Selangor selaku negeri peneraju dalam program Pengurangan Risiko Bencana (DRR) sedia berkongsi ilmu dengan negeri lain bagi mempersiapkan komuniti untuk berdepan sebarang krisis.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata Selangor menimba banyak ilmu dan pengalaman sepanjang empat tahun bekerjasama dengan pakar tempatan dan Jepun.
“Program ini memberi pendedahan kepada pemimpin komuniti memahami risiko dan kaedah menguruskan bencana seperti banjir, tanah runtuh serta jerebu berdasarkan data saintifik.
“Ia sekali gus dapat meningkatkan kemampuan mereka dalam pengurangan risiko bencana. Rakyat juga mampu berdikari ketika bencana sementara menunggu bantuan pihak berwajib.
“Insya-Allah, kita boleh kongsikan dapatan program ini kepada negeri lain. Mereka mungkin boleh mengadaptasinya untuk dikongsikan dengan pemimpin setempat mereka,” katanya di Hotel Geno di sini hari ini.
Beliau bercakap pada sidang media selepas Simposium Tindakan DRR: Kolaborasi Awam, Swasta, Ahli Akademik dan Komuniti serta penyerahan pelaksanaan program itu oleh Agensi Perbadanan Antarabangsa Jepun (JICA) kepada Kerajaan Selangor.
Turut hadir, Wakil Kanan JICA Yoshitaka Inagaki serta Pengarah Pusat Persediaan dan Pencegahan Bencana (DCC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak.
Dalam pada itu, Mohd Najwan menjelaskan usaha menangani bencana menjadi tanggungjawab bersama dengan masyarakat perlu diberi bimbingan untuk menguruskannya secara berilmu dan berhemah.
“Di Selangor, kita acapkali berdepan krisis alam dan ianya perlu ditangani secara berilmu dan berhemah. Memang tugas hakiki Kerajaan Negeri untuk menyelia serta mengemudi satu-satu bencana, tetapi pengurusan bencana bukan hanya bertumpu kepada Kerajaan Negeri semata-mata.
“Jadi kita mahu melibatkan semua pihak sama ada orang awam, pemegang taruh serta ketua komuniti dengan memberi pemahaman yang betul sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri dalam mengurus bencana,” katanya.
DRR melibatkan perkongsian pintar Institut Penyelidikan Antarabangsa Sains Bencana (IRIDeS) Universiti Tohoku, Jepun; DPPC UTM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan dibiayai sepenuhnya JICA.