Program e-Tunai Rakyat yang merupakan satu inisiatif menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai menerima sambutan yang baik dalam kalangan rakyat sejak dilancarkan pada 15 Januari 2020 (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor, Pulau Pinang capai 90 peratus bayaran nirtunai

PUTRAJAYA, 30 OKT: Selangor dan Pulau Pinang telah mencapai 90 peratus penembusan pembayaran digital sehingga Oktober 2023, kata Pengarah Kanan Bahagian Digitalisasi Kerajaan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) Firdaus Ghani.

Kadar penembusan pembayaran digital di Kedah pula telah mencapai 80 peratus, Perlis lebih 60 peratus, Johor lebih 50 peratus dan Perak kira-kira 49 peratus, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kempen ‘Cashless Boleh 3.0’ dan program bual bicara berkenaan pembayaran digital di sini hari ini.

“Pencapaian Selangor dan Pulau Pinang itu adalah hasil kerjasama pengurusan tertinggi negeri yang menggalakkan pembayaran nirtunai yang bertujuan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

PayNet adalah rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat bagi pasaran kewangan yang terulung di Malaysia dan mengendalikan kemudahan pembayaran digital kegunaan umum seperti DuitNow, DuitNow QR dan JomPay.

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan konsortium yang terdiri daripada 11 bank tempatan.

Kempen ‘Cashless Boleh’ bertujuan menggalakkan tabiat e-pembayaran atau nirtunai sebagai kaedah pembayaran utama di Malaysia. Kempen tersebut juga untuk membantu migrasi agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah mencapai kutipan pembayaran 100 peratus tanpa tunai.

Terdahulu dalam sesi bual bicara berkenaan pembayaran digital sektor awam yang disertai wakil-wakil agensi kerajaan yang berkongsi mengenai pengalaman melaksanakan kaedah pembayaran nirtunai di agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata agensi itu sering kali berdepan masalah kewangan contohnya cek tidak laku, isu pembayaran tidak sah atau kehilangan wang tunai sebelum beralih ke kaedah pembayaran nirtunai.

Menurutnya, Jabatan Imigresen telah mencapai 100 pembayaran tanpa tunai sejak Disember 2020 dan masih mengekalkan kadar tersebut sehingga kini.

“Dengan cashless, kini tiada masalah berbangkit. Pendekatan yang kita ambil boleh dikatakan kita guna ‘paksa rela’ iaitu tiada urusan menggunakan wang tunai.

“Memang terima pelbagai aduan terutamanya daripada pihak pemegang taruh tetapi sokongan yang diterima daripada pengurusan tertinggi membantu kami meneruskan inisiatif ini,” katanya.

Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan (KKM) D. Dhanesh Kumar berkata antara cabaran dalam pelaksanaan pembayaran tanpa tunai ialah penerimaan masyarakat, literasi digital dan ketersediaan infrastruktur di sesetengah kawasan.

Menurutnya prestasi transaksi tanpa tunai melibatkan KKM telah menunjukkan peningkatan dari 426,000 transaksi pada Januari 2023 dan kini mencecah 1.2 juta transaksi.

– BERNAMA


Pengarang :