SHAH ALAM, 17 OKT: Skuad hoki wanita Selangor kian bersemangat mempertahan kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak selepas mara ke separuh akhir menewaskan ATM 2-1 semalam.
Jurulatih Ikmal Abdul Jabar berkata pasukannya perlu segera memperbaiki persembahan kurang konsisten menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan A.
“Kita layak ke separuh akhir tetapi tidak boleh selesa sebab corak permainan tidak beberapa konsisten. Walaupun menang ke atas ATM, tetapi pemain kita tidak cukup baik ketika menyerang.
“Kita ada satu lagi baki perlawanan peringkat kumpulan dan kita akan cuba beri yang terbaik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Ikmal, pemain Selangor daripada gabungan bakat muda dan berpengalaman tidak akan mengambil mudah cabaran mana-mana pasukan yang kini bersaing sengit ke separuh akhir.
“Kita memang sasarkan untuk pertahan emas tapi saya enggan beri tekanan kepada pemain. Kita tidak mahu terlalu yakin sebab ada campuran pemain muda yang baharu bermain bawah jagaan saya,” katanya.
Peringkat separuh akhir akan berlangsung Khamis ini dan perlawanan akhir pada 21 Oktober di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.