EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (dua, kanan) merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Shah Alam pada 28 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tumpu lima sektor, sokong pembangunan lestari negeri

SHAH ALAM, 28 OKT: Selangor memberi tumpuan penuh kepada lima sektor bagi menyokong matlamat negeri yang mahu memajukan pembangunan secara lestari,kata EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata penekanan itu terhadap sektor daya tahan dan pengurusan bencana, negeri rendah karbon, biodiversiti dan sumber asli, pengurusan air serta sisa.

“Penumpuan kepada sektor ini dipilih berdasarkan keadaan alam sekitar negeri dan global, status terkini dan hasil penyelidikan yang selaras dengan pelaksanaan matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2035.

“Rancangan Selangor Pertama yang diluncur tahun lalu turut mengambil pendekatan strategik berlandaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

Beliau membacakan teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat negeri hari ini.

Wakil rakyat Bandar Utama berkata pihaknya bakal menubuhkan Majlis Hijau bagi membincang polisi, dasar serta pelaksanaan inisiatif berkonsepkan alam sekitar, teknologi serta perubahan iklim pada masa depan.

“Majlis ini bertindak sebagai pusat sehenti yang menghimpun agensi berkaitan, profesional, ahli akademik selain pihak swasta.

“Pasukan ini akan membincang segala isu serta mencari jalan penyelesaian. Cadangan penubuhan ini sudah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut termasuk kos peruntukan,” katanya.


Pengarang :