Sebahagian pihak media melawat tapak projek pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Senggara aset loji air Sungai Langat babit ganti injap 50 tahun

HULU LANGAT, 5 OKT: Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat turut membabitkan penukaran injap pintu air berusia 50 tahun.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata lebih separuh daripada 35 kerja yang dibuat tertumpu kepada penggantian alatan usang dan dijangka siap dalam tempoh 51 jam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Abas Abdullah menjelaskan operasi berkenaan bagi memastikan loji rawatan beroperasi dengan baik pada setiap masa dan mengelakkan kerosakan tidak dijangka.

“Sebenarnya kita turut buat penyenggaraan berkala setiap bulan dan setiap tahun, bukan hanya lima tahun sekali, namun ia tidak melibatkan gangguan bekalan air.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (tiga kiri) bersama pihak media melawat tapak projek pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 5 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kali ini memang memerlukan kita buat penutupan sepenuhnya bagi membolehkan kita menggantikan aset (yang dikenal pasti),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menambah penyelenggaran secara proaktif dapat mengelak insiden tidak diingini secara tiba-tiba, yang mungkin menyebabkan gangguan air tidak berjadual seterusnya menjejaskan pengguna.

“Ia juga boleh mengelak situasi pembaikan mendesak, mengesan tanda awal masalah dan bertindak sewajarnya sebelum menjadi lebih serius kerana setiap aset ada jangka hayat tertentu,” katanya.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan pelaksanaan kerja itu menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula 9 pagi pada 10 Oktober.

Kerja berkenaan dijangka siap jam 7 malam hari sama dan bekalan air disalurkan secara berperingkat kepada pengguna. Bekalan dijadual pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari pada 12 Oktober.


Pengarang :