Penduduk Palestin memeriksa masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Serangan udara di Gaza, Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin

SHAH ALAM, 8 OKT: Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin menentang rejim zionis Israel yang semakin memuncak ketika ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ratusan nyawa tidak bersalah menjadi mangsa korban selain rampasan tanah dan harta rakyat Palestin yang dibuat zionis tanpa henti.

“Masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin,” tulisnya di laman X hari ini.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan meminta masyarakat antarabangsa memperakui kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, yang menjadi punca utama konflik terbaharu di Gaza.

Menurutnya, rakyat Palestin menjadi mangsa pendudukan haram berpanjangan, sekatan dan penderitaan selain kesucian Masjid Al-Aqsa dicemari dan politik perampasan oleh Israel.

“Tidak sepatutnya ada layanan tidak tidak sama rata dan kepura-puraan nyata dalam menangani mana-mana rejim yang mengamalkan aparteid, melanggar hak asasi dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menurut media antarabangsa, sekurang-kurangnya 550 orang awam dari kedua-dua pihak terbunuh manakala lebih 3,000 yang lain cedera dalam serangan balas.


Pengarang :