AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang niaga bakal tarik pelaburan besar, cipta peluang kerja

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung mulai 19 Oktober bakal menarik prospek pelaburan besar dan mencipta peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berkata SIBS yang juga acara perdana anjuran negeri menyasarkan lima industri utama bagi mencapai potensi nilai jualan bernilai RM1.5 bilion.

Beliau menjelaskan industri berkenaan ialah sektor elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan dan minuman, pelaburan digital, perkhidmatan logistik serta jentera dan barangan pengangkutan.

“Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lebih 1,000 reruai dari dalam dan luar negara untuk dilawati termasuk sasaran 50,000 pengunjung.

“Kedudukan Selangor sebagai pintu masuk Asean selain lima industri penting di Selangor ketika ini bakal dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya di Facebook.

Sidang perniagaan yang dijadual berlangsung selama empat hari hingga 22 Oktober dianjur dalam skala lebih besar berikutan sambutan menggalakkan tahun lalu.

Selangor memperkenalkan acara tersebut pada 2016 dan sidang niaga berkenaan mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion tahun lalu.

Pada tahun lalu juga, ekspo disertai 623 pempamer itu menerima 44,342 pelawat dengan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :