Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang niaga Selangor buka tirai, platform teroka industri baharu

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 membuka tirai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan sasaran potensi nilai jualan RM1.5 bilion.

Dato’ Menteri Besar berkata edisi ketujuh yang berlangsung sehingga Ahad ini menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.

Dianjurkan sejak 2015, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sidang itu membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

“Penganjuran SIBS kali pertama pada 2015 mencatat nilai transaksi sebanyak RM182 juta dengan 400 reruai serta menerima kunjungan 4,300 orang dan sekarang terus berkembang.

“Kerajaan Negeri komited menjadikan Selangor sebagai gerbang ke Asean selain bakal menjadi destinasi terbaik di Asia,” katanya merasmikan pembukaan SIBS di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin menambah Selangor akan menjadi destinasi pelaburan terbaik untuk semua sektor berikutan pelbagai kemudahan dimiliki selain dasar pentadbiran yang tidak meminggirkan mana-mana pihak.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan beberapa syarikat berpotensi.

Sidang tahunan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Sidang bertaraf antarabangsa itu turut disertai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perikanan Malaysia.

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.

Tahun lalu, ekspo disertai 623 pempamer menerima 44,342 pelawat dan mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan beberapa syarikat ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :