KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang melabuhkan tirai semalam turut memberi manfaat pelaburan kepada negeri lain.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pihaknya melihat pelaburan berkualiti daripada beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani.
“Kita dapat tarik pelabur bukan hanya Selangor tetapi juga Pahang. Tetapi ia tidak mengapa, yang penting kita dapat wujudkan satu ekosistem. Kita gembira dapat bantu negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah dan penutup program Pemecut Selangor 2023 (SAP23) sempena SIBS 2023 di sini semalam.
Sze Han menambah Kerajaan Negeri menyasar menarik lebih ramai pelabur asing termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) menyertai sidang niaga antarabangsa itu tahun depan.
Jelasnya sasaran itu penting bagi merealisasikan Selangor sebagai kawasan tumpuan utama dan pintu masuk ke Asia Tenggara.
Diadakan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), SIBS 2023 yang bermula Khamis sehingga semalam menyediakan hampir 1,050 reruai dengan enam acara utama.