AGENDAJENAYAH

Sindiket edar dadah ke luar negara guna kurier tumpas

JOHOR BAHRU, 11 OKT: Satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam soket lampu diod pancaran cahaya (LED) dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk diedarkan ke pasaran luar negara, tumpas hasil operasi khas di Kempas dan Kulai, Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan antara 5 petang, 3 Oktober lepas hingga 3 pagi, 4 Oktober itu melibatkan sebuah kedai tayar di Kempas, di sini dan premis di kawasan perindustrian di Senai, Kulai.

Beliau berkata susulan serbuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 33 hingga 40 tahun, dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.

“Polis merampas 10.35 kilogram syabu yang diisi dalam 166 peket, dua kereta, sebentuk cincin, dua jam tangan, wang tunai RM1,505 dan wang tunai Singapura SGD$1,415.47, dengan nilai dadah dan sitaan berjumlah kira-kira RM592,536,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, sindiket yang dipercayai aktif mulai Ogos tahun ini, menjadikan kedai tayar berkenaan sebagai tempat pembungkusan dadah.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengesan seorang lelaki dan seorang wanita, dipercayai ahli sindiket.

”Kesemua lelaki yang negatif terhadap dadah itu direman hingga 15 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah dadah dirampas boleh digunakan seramai 51,760 penagih.

Selain itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya menemukan 18 bungkusan dadah dipercayai syabu di sebuah hutan paya bakau berdekatan Parit Jawa, Muar, pada 6 Oktober lepas.

“Dadah dianggar seberat 19.7kg itu bernilai RM652,344. Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini sedang giat dijalankan.

“Kami percaya bahawa aktiviti pengedaran dadah ini didalangi oleh sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :