Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis pelancaran Siri Warisan Islami Selangor dan Buku Sejarah Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Siri pertama kitab terjemahan Ihya’ Ulumuddin boleh ditempah hari ini

SHAH ALAM, 5 OKT: Sebanyak 1,000 naskhah siri pertama daripada 20 jilid terjemahan Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali boleh ditempah hari ini.

Buku baharu ini, diberi judul Menghidupkan Ilmu Agama: Kitab Ilmu, diterbitkan bawah Siri Warisan Islami Selangor dengan pembiayaan Kerajaan Negeri.

Penerbitnya Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) membuka tempahan awal jilid pertama itu kepada pembeli dengan harga promosi RM70.

“Setakat ini kami menerima 20 tempahan awal. Pembeli (awal) akan menerima peta perjalanan hidup Imam al-Ghazali,” kata Pengurus Jualan dan Pemasarannya Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini.

Pratempahan buku ini, setebal 328 muka surat, boleh dibuat melalui laman sesawang www.bukuibde.com dengan harga lebih murah daripada nilai asal RM80.

Dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 28 Mei lalu, projek penterjemahan kitab Imam al-Ghazali ini dibiayai oleh Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI.

Penterjemahnya Zahid Mohd Naser pula berkata proses penterjemahan dan suntingan buku ini mengambil masa enam bulan bermula Februari lalu.

“Diharap buku ini dibaca oleh ramai orang. Imam al-Ghazali menulis untuk orang awam. Diharap orang awam mendapat manfaat sesuai dengan kehendak al-Ghazali yang menulis untuk orang awam,” katanya.

Bagi menghidupkan tradisi menelaah kitab tersohor Imam al-Ghazali ini, Kerajaan Negeri menganjurkan Festival Turath Islami di Shah Alam selama seminggu hingga 25 Mei lalu.

Siri Warisan Islami Selangor diusahakan oleh IBDE selepas menjayakan Siri Pencerahan Selangor, projek penterjemahan lebih 70 karya penting dunia dalam bidang agama, politik, sejarah, falsafah, budaya dan sastera sejak 2016.


Pengarang :