Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang inovasi ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Sistem e-warta PDT Sabak Bernam ungguli anugerah inovasi sektor awam

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam mengungguli Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) 2023 bagi kategori sektor awam PDT menerusi pembangunan sistem e-warta.

Pegawai daerah berkata pihaknya tidak menyangka sistem dibangunkan kumpulan 9Revolution yang terdiri daripada kakitangan di beberapa unit PDT terbabit menambat hati juri berdasarkan keberkesanannya.

Menurut Amri Ismail, idea untuk mewujudkan inovasi itu tercetus selepas menyedari banyak isu keciciran maklumat berlaku di pejabat tanah hingga menyukarkan proses carian semula.

Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam Amri Ismail

“Pembangunan sistem e-warta ini mengambil kira masalah sering kali dihadapi oleh pentadbir tanah bukan sahaja di Sabak Bernam tetapi daerah lain di Malaysia berkaitan proses pewartaan.

“Sebelum ini, pewartaan dilaksanakan secara manual dan kami sering berhadapan isu fail tercicir serta dokumen hilang. Dengan adanya sistem ini boleh mengelak masalah itu seterusnya memudahkan rujukan,” katanya.

Kejayaan itu melayakkan PDT Sabak Bernam membawa pulang hadiah RM5,000, piala dan sijil penghargaan. Naib johan kategori sama pula dirangkul kumpulan Kuarza dari PDT Gombak.

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

AINS 2023 menerima sebanyak 220 penyertaan membabitkan kategori sektor awam iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), PDT dan agensi selain PBT dan PDT. Manakala sektor swasta terdiri daripada institusi pengajian tinggi, sekolah serta akar umbi.

Sesi penilaian awal dibuat pada Ogos hingga September dengan 70 daripadanya mara ke peringkat akhir yang diadakan pada 18 hingga 21 September.

Diperkenal pada 2010, AINS memberi peluang semua penduduk di Selangor mencetuskan idea baharu yang kreatif dan inovatif ke arah pembudayaan inovasi negeri ini.


Pengarang :