Penduduk Palestin meninggalkan kediaman masing-masing susulan serangan Israel di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Siswazah USIM antara korban keganasan rejim Israel di Gaza

NILAI, 10 OKT: Dua siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) warga Palestin dan 20 sanak saudara mereka adalah antara yang terkorban dalam serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad.

USIM dalam kenyataan hari ini berkata Mohammed J. H. Alzaanin yang merupakan calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM, terkorban dalam serangan bom di perkampungan mereka di Bait Hanon kira-kira pukul 8 pagi.

“Perkara ini disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq. Turut terkorban adalah empat anak pasangan itu, dan hanya seorang anak mereka dilaporkan terselamat,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam dalam kenyataan sama berkata turut terkorban dalam serangan itu adalah 20 sanak saudara pasangan berkenaan.

Mohammed J. H. Alzaanin baharu selesai menjalani sesi viva-voce di USIM pada 5 Julai lepas manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian viva-voce pada 23 Oktober ini.

– BERNAMA


Pengarang :