Pemain skuasy S. Sivasangari menggondol pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Sivasangari rangkul emas keempat negara di Sukan Asia Hangzhou 2022

HANGZHOU, 5 OKT: Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari terpaksa mengetepikan cabaran sengit lebih sejam daripada bintang Hong Kong, Chan Sin Yuk, sebelum menghadiahkan pingat emas keempat negara pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, di sini, hari ini.

Dalam acara final perseorangan wanita, pemain negara berusia 24 tahun itu, dua kali bangkit semula untuk mengesahkan keputusan 8-11, 15-13, 10-12, 11-9, 12-10 dalam pertarungan selama 64 minit di Gelanggang Skuasy Pusat Olimpik Hangzhou.

Kejayaan amat mendebarkan itu menyaksikan Sivasangari, selaku Pembawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian temasya itu, meraih emas kedua buat dirinya selepas membantu skuad wanita negara merangkul emas dalam acara berpasukan, Sabtu lalu.

Selain itu, pemain ranking ke-37 dunia dan lebih mesra disapa sebagai Sangari, turut berjaya menebus kecewaan ke atas Sin Yuk pada final Kejohanan Asia di Hong Kong, Jun lalu.

Legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David telah memenangi lima pingat emas dalam acara perseorangan pada edisi 1998, 2006, 2010, 2014, 2018 dan pingat perak pada edisi 2002.

Sejak acara skuasy diperkenalkan pada edisi 1998 di Bangkok, hanya pemain Hong Kong, Rebecca Chiu berjaya memecah dominasi Nicol pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Terdahulu, gandingan beregu campuran negara, Syafiq Kamal-Aifa Azman terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas 2-0 meberusi dua set 10-11, 10-11 kepada pilihan utama Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu dari India.

– BERNAMA


Pengarang :