Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop bersama penerima sijil program Fiber Optic Technician (FOT) tajaan MBI pada majlis graduasi dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan SRC Global Sdn Bhd di Auditorium STDC Kuala Selangor pada 13 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

STDC, SRC Global kerjasama lahir lebih ramai jurutera kabel gentian optik

KUALA SELANGOR, 14 OKT: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat latihan teknikal profesional SRC Global Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Saipolyazan M Yusop berkata kerjasama itu bagi melahirkan lebih ramai jurutera pemasangan kabel gentian optik di negara ini.

“Justeru, kita menyasarkan lahir lebih 900 jurutera dalam bidang ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang bertujuan membantu industri telekomunikasi di Malaysia.

“Insya-Allah, kita percaya ramai yakin untuk mengambil kursus di bawah STDC memandangkan institusi ini telah mendapat pengiktirafan Telekom Malaysia Bhd.

“Pengiktirafan ini melayakkan pelatih jurusan pemasangan kabel gentian optik menduduki ujian bagi kursus berkenaan,” katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Resources Norhisham Ariffin (duduk kanan) dan Pengurus Pusat Bertauliah Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Norzilawati Md Said (duduk kiri) menandatangani perjanjian persefahaman antara STDC dan SRC Global Sdn Bhd di Auditorium STDC Kuala Selangor pada 13 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara STDC dengan SRC Global di STDC di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Pengurus Pusat Bertauliah STDC Norzilawati Md Said dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Dato’ Nor Hisham Mohd Arifin.

Saipolyazan menjelaskan kerjasama itu tidak hanya terhenti kepada bidang kabel gentian optik sahaja sebaliknya akan diteruskan untuk melatih pelajar dalam bidang solar pada masa depan.

“Dengan latihan yang diterima peserta ini, mereka berpeluang mendapat pekerjaan yang bergaji sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan bergantung tahap kemahiran dan sijil,” jelasnya.


Pengarang :