DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tiga, kiri) ketika bertemu Sir Anthony Seldon (dua, kiri) diiringi DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di ibu negara pada 29 Oktober 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Sultan berkenan hadiri santapan malam dengan sejarawan UK

SHAH ALAM, 30 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menerima jemputan pertemuan peribadi dan santapan malam dengan sejarawan serta tokoh pendidikan tersohor United Kingdom (UK).

Kebarangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertemu Sir Anthony Seldon diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di ibu negara semalam.

“Beliau pernah menjawat jawatan sebagai pengetua ke-13 di Wellington College, salah sebuah institusi pengajian tinggi terkenal di UK. Ketika itu juga, Tengku Amir Shah sedang menuntut di Wellington College bermula 2004 hingga 2009.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai naib canselor di Universiti of Buckingham dari 2015 hingga 2020 dan kini adalah pengetua di Epsom College,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Anthony terkenal dengan penulisan buku biografi perdana menteri Britain antaranya John Major, Tony Blair, Gordon Brown, David Cameron, Theresa May dan Boris Johnson.

Beliau juga penulis dan editor lebih 45 buku kontemporari mengenai sejarah, politik dan pendidikan selain pengasas bersama dan pengarah pertama di Centre for Contemporary British History.


Pengarang :