DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam menjadikan kelaziman mendoakan kesejahteraan dan keamanan bumi Palestin setiap kali selepas menunaikan solat fardhu lima waktu. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor seru umat Islam doakan kesejahteraan, keamanan bumi Palestin selepas solat

SHAH ALAM, 21 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam khususnya rakyat Selangor menjadikan kelaziman mendoakan kesejahteraan dan keamanan bumi Palestin setiap kali selepas menunaikan solat fardhu lima waktu.

Baginda bertitah doa dibacakan khatib pada solat Jumaat di masjid seluruh Selangor semalam antara yang boleh dijadikan panduan, maklum Selangor Royal Office menerusi Facebook.

Petikan doa khatib:

“Ya Allah Ya Tuhan kami! Selamatkanlah saudara kami kaum muslimin yang ditindas di bumi Palestin dan di mana sahaja mereka berada. Ya Allah! sayangi dan kasihilah mereka, keluarkanlah mereka dari penindasan serta kesempitan yang mereka alami selama ini. Dengan kuasa-Mu Ya Allah, jadikanlah sebab perjuangan dan doa kami semua, kau kembalikan tanah mereka yang dirampas. Kau hapuskanlah kezaliman yang ada di muka bumi ini. Berikanlah keadilan kepada mereka yang dianiaya serta dizalimi. Ya Allah!Anugerahkanlah kemenangan kepada saudara kami kaum muslimin di Palestin. Berikanlah kepada pejuang-pejuang Islam serta rakyat Palestin kekuatan serta kesabaran menghadapi kekejaman musuh. Ya Allah! Binalah semula keamanan di bumi Palestin dan kembalikannya ke pangkuan kaum Muslimin.”

Baginda turut menyeru rakyat Selangor menghayati initipati khutbah Jumaat disampaikan khatib di masjid seluruh Selangor semalam bertajuk ‘Menjadi Umat Terbaik’.

“Menyentuh mengenai saranan khutbah hari ini (semalam), baginda menegaskan ciri umat terbaik adalah umat berintegriti, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

“Ke arah itu baginda mahu rakyat menerapkan beberapa aspek antaranya jauhi sebarang bentuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu,” maklumnya.

Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat menghindarkan diri daripada persepsi negatif dengan mencetuskan sentimen fanatik perkauman, hasutan serta unsur yang bercanggah dengan nilai Islam.

“Selain itu, konsisten dalam menyeru manusia beriman ke arah kebaikan, menjauhi kemungkaran, menggembleng tenaga tanpa prejudis dan konspirasi demi menjamin keharmonian,” menurut Facebook itu lagi.

.


Pengarang :