Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu, Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 18 Oktober 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan titah elak guna bahasa kasar, tidak bertamadun dalam sidang DNS

SHAH ALAM, 19 OKT: Sultan Selangor menitahkan supaya perdebatan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan tanpa dicemari penggunaan bahasa kasar serta tidak sopan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan perjalanan sidang dewan tidak harus dicemari dengan perangai yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun, maklum Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Baginda bertitah demikian pada sesi menerima menghadap Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu, Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar Weng San meneruskan kesinambungan Speaker terdahulu dalam mengendalikan perjalanan sidang dewan dengan adil, lancar dan tidak berat sebelah.

“Baginda turut memberi kredit dan penghargaan kepada Speaker terdahulu daripada parti DAP yang dilantik sejak 2008 kerana berjaya mengawal keadaan setiap kali sidang berlangsung di dalam dewan yang mulia itu,” maklumnya.

Semalam, Weng San yang juga bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting memaklumkan Belanjawan Selangor 2024 dibentang pada 10 November bersekali dengan sidang DNS.

Jangkaan kos perbelanjaan tahunan itu bakal dibentang oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :