Penduduk Palestin memeriksa masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 8 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Tabung kemanusiaan RM10 juta untuk Palestin dilancar

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Perpaduan meluncurkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyedia dana sebanyak RM10 juta selain menggesa syarikat serta orang awam untuk ikut serta.

“Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel telah secara ganas dan biadab ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut.

“Malaysia akan meluncurkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana sebanyak RM10 juta dan menggesa syarikat serta orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Tabung kemanusiaan itu merupakan susulan daripada sumbangan awal RM1 juta kepada rakyat Palestin yang diumum Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Parlimen semalam.

Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memohon bantuan kecemasan berjumlah AS$294 juta bagi menangani keperluan mendesak di Gaza dan Tebing Barat.

Ketika ini lebih 400,000 rakyat Palestin telah meninggalkan kediaman sejak krisis Israel-Palestin dilihat semakin berlarutan.


Pengarang :