Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Talaqqi kembali 10 Oktober, ulama Pattani kupas dua kitab al-Ghazali

SHAH ALAM, 7 OKT: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang sebelum ini menggamit ribuan peserta diteruskan sempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada Bahasa Melayu pada 10 dan 11 Oktober.

Menurut Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), festival itu sekali lagi menampilkan tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni bagi mengupas kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

“Marilah beramai-ramai memeriahkan acara ini, menghirup manfaat dan sari ilmu daripada Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni,” katanya menerusi Facebook.

Sesi dhuha diadakan 8.45 hingga 11.30 pagi (10 Oktober), manakala sesi Isyak dari 8.30 hingga 11 malam (10 dan 11 Oktober).

Menurut IBDE program dengan kerjasama Asatizah Selangor, Akademi Pemikiran Turath, Pejabat Menteri Besar Selangor dan masjid negeri bagi menyemarak kegiatan keilmuan serta kerohanian berpandukan kitab turath warisan Islam.

“Talaqqi ini merupakan pengajian kitab secara tradisi menggunakan pendekatan talaqqi (membaca perkataan demi perkataan disertai huraian oleh tuan guru),” katanya.

Program keagamaan itu merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan 20 Mei lalu.

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :