Tokoh Ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan kuliah duha pada Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Talaqqi Kitab Turath Islami diteruskan 10, 11 Oktober di masjid negeri

SHAH ALAM, 5 OKT: Program Talaqqi Kitab Turath Islami yang dianjur Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada Bahasa Melayu diteruskan pada 10 dan 11 Oktober ini, susulan sambutan hangat.

IBDE memaklumkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni akan mengupas kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan sepanjang program berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

“Marilah beramai-ramai memeriahkan acara ini, menghirup manfaat dan sari ilmu daripada Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni,” katanya menerusi Facebook.

Sesi dhuha diadakan jam 8.45 hingga 11.30 pagi (10 Oktober), manakala sesi Isyak dari 8.30 hingga 11 malam (10 dan 11 Oktober).

Menurut IBDE program dengan kerjasama Asatizah Selangor, Akademi Pemikiran Turath, Pejabat Menteri Besar Selangor dan masjid negeri bagi menyemarak kegiatan keilmuan serta kerohanian berpandukan kitab turath warisan Islam.

“Talaqqi ini merupakan pengajian kitab secara tradisi menggunakan pendekatan talaqqi (membaca perkataan demi perkataan disertai huraian oleh tuan guru),” katanya.

Program keagamaan itu merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan 20 Mei lalu.

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :