Keadaan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Meru susulan hujan lebat kira-kira dua jam pada petang 10 November 2022. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Tambah kekerapan selenggara longkang, parit atasi banjir di Meru

SHAH ALAM, 27 OKT: Agensi berkepentingan diminta menambah kekerapan kerja penyelenggaraan longkang dan parit sekitar Dewan Undangan Undangan (DUN) Meru sebagai usaha jangka pendek mengatasi masalah banjir.

Wakil rakyatnya Mariam Abdul Rashid melihat keperluan itu sementara menunggu kolam tadahan di empat kawasan membabitkan Sungai Kapar Kecil, Sungai Kapar Besar, Meru dan Jalan Kenangan siap dibina.

“Saya nampak jadual kekerapan penyelenggaraan longkang dan parit kurang iaitu dua kali setahun. Mungkin ia perlu ditambah empat kali setahun kerana kita mahu pastikan saliran diselenggara dengan baik bagi mengelak limpahan air seterusnya banjir.

“Saya akan jumpa agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran termasuk Pembangunan Luar Bandar untuk bincang bagaimana mereka boleh buat penyelenggaraan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau memberitahu projek pembinaan empat kolam tadahan yang merupakan usaha jangka panjang menangani isu banjir akan bermula awal tahun depan dengan tempoh pelaksanaan dijangka dua tahun.

Tambah Mariam, projek menelan belanja RM220 juta melalui peruntukan kerajaan pusat kini dalam fasa reka bentuk, lantikan perunding termasuk pengambilalihan tanah milik persendirian.

“Projek sudah mula ditender dan lantikan kontraktor. Insya-Allah tahun depan bermula projek berkenaan, cuma di Jalan Kenangan bersebelahan kubur Cina ambil masa sedikit untuk proses ambil alih tanah.

“Saya yakin selepas kolam tadahan ini siap dibina, masalah banjir di Meru dapat diatasi sekali gus memanfaatkan kira-kira 100,000 penduduk keseluruhannya,” katanya.


Pengarang :