Tangkap layar temu bual EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar menjadi tetamu di program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pada 17 Oktober 2023.
SELANGOR

Tawaran geran bukti kesungguhan negeri subur keilmuan, penyelidikan

SHAH ALAM, 17 OKT: Pengenalan Geran Penyelidikan Negeri Selangor mencerminkan kesungguhan pentadbiran ini menyuburkan budaya keilmuan dan penyelidikan demi memperkukuh dasar pembangunan negeri.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar berkata tawaran tersebut turut memberi galakan kepada ahli akademik, penyelidik, tenaga pengajar dan mahasiswa untuk menghasilkan inovasi.

“Ia merupakan satu strategi bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu pengukuhan sektor ekonomi untuk kita memperkukuhkan lagi dasar-dasar dan strategi terutama dalam aspek pembangunan.

“Jadi melalui geran ini, kita beri peluang kepada pihak terbabit supaya mereka dapat menjadikan penyelidikan sebagai satu bidang yang dapat membantu negara mengkomersialkan produk dibangunkan,” katanya.

Beliau bercakap dalam Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung di TV1 hari ini. Turut serta EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan geran penyelidikan diperkenal tahun ini dengan dana berjumlah RM3 juta bertujuan memberi galakan kepada penyelidik atau mahasiswa meneroka penyelidikan baharu berpaksikan empat fokus utama.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fokus utama ke arah kemajuan negeri membabitkan pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.

Katanya pemerkasaan program penyelidikan juga seiring RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun.


Pengarang :