Keadaan jerebu yang dirakam dari Menara Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Tutup sekolah tanpa perlu tunggu kelulusan jika IPU lebih 200

GEORGE TOWN, 7 OKT: Sekolah boleh ditutup tanpa menunggu kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya keadaan jerebu semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri, Lim Hui Ying berkata pihak sekolah perlu sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar.

“Menurut garis panduan KPM dalam usaha menangani situasi jerebu, jika bacaan IPU melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan di sekolah manakala jika melebihi 200, sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian.

“Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan namun perlu memaklumkan kepada PPD,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew di sini hari ini.

Tambahnya, pemakaian pelitup muka juga digalakkan di sekolah dan pelajar perlu minum air dengan cukup.

Selain itu, Lim turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau kesihatan anak-anak serta mengurangkan aktiviti luar rumah memandangkan kualiti udara yang kurang baik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata setakat 9 pagi tadi tiga daripada empat stesen bacaan IPU di Pulau Pinang merekodkan kualiti udara amat baik.

“Saya percaya keadaan jerebu di negeri ini menunjukkan pengurangan berikutan hujan beberapa hari kebelakangan ini.

“Namun, saya memberi arahan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk memantau jika terdapat peningkatan kes yang terlibat dengan sistem pernafasan akibat jerebu untuk pihak kami susuli dengan tindakan seterusnya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :