SHAH ALAM, 28 OKT: Belanjawan Selangor 2024 diharap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemudahan awam dengan menyalurkan tambahan dana.
Wakil rakyat Balakong berkata ia berikutan banyak kemudahan awam seperti dewan dan gelanggang sukan terutama di kawasannya yang uzur akibat tidak diselenggara.
“Bajet untuk kemudahan awam sebelum ini memang ada cuma adalah lebih baik sekiranya Kerajaan Negeri dapat tambah lagi supaya infrastruktur ini boleh diselenggara.
“Selain itu, saya berharap belanjawan 2024 ini dapat menumpukan kepada program membantu anak muda terutama yang belajar bidang kemahiran untuk mendapat peluang pekerjaan,” kata Wayne Ong Chun Wei ketika dihubungi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/394555972_170757906100922_8629974020274981659_n-500x406.jpg.webp)
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 10 November depan.
Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.