AGENDAJENAYAH

Wanita, anak, dua cucu dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian

JERTIH, 3 OKT: Polis meminta bantuan orang ramai menyalur maklumat mengenai empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohamad berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor bersama seorang anak lelaki dan dua cucunya semalam.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki mengatakan ibu, adik dan dua anaknya tidak dapat dihubungi sejak pagi Sabtu lalu sehingga hari ini ketika keluarga itu bercuti di Pulau Perhentian sejak Jumaat.

“Siasatan polis mendapati wanita itu bersama anak dan cucunya menginap di sebuah resort di pulau berkenaan tetapi sudah keluar dari pulau menaiki bot pelancong pada 8 pagi dan sampai ke jeti di Kuala Besut kira-kira 9 pagi, Ahad lepas,” katanya.

Abdul Rozak berkata, berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua mangsa bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Kuala Besut (arah Kampung Raja- Kuala Terengganu) dengan menaiki kereta Proton Saga BLM biru dengan nombor pendaftaran JRW6380, iaitu kereta yang dibawa keluarga itu sebelum ini.

Menurutnya, maklumat daripada pengendali bot memaklumkan telefon bimbit ibu dan adik pengadu terkena air ketika mereka melakukan aktiviti snorkeling di pulau itu pada Jumaat dan Sabtu dan tidak dapat dihidupkan.

“Mangsa juga ada memberitahu pengendali bot, mereka akan ke Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas keluar dari Pulau Perhentian.

“Bagaimanapun sehingga kini, semua mangsa masih belum dapat dikesan dan dihubungi bagi mengetahui keberadaan mereka. Siasatan masih diteruskan untuk mengesan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Izzati Arina di talian 017-3792157 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :