Penyokong bersorak sambil melambaikan sarung tangan yang tertera tulisan ” Kekal 5 tahun Demi Masa Demi Negara” pada program Grand Finale Festival Arus Merah Kuning DUN Sungai Tua di Dataran Sungai Tua pada 9 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

100 hari: Semarak syiar Islam, bela kebajikan semua

OLEH FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Barang yang dikata, itulah yang dikota. Kerajaan Negeri bersegera melaksana Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun yang dijanjikan semasa pilihan raya negeri Ogos lalu.

Lima daripada lebih 50 program itu ditunaikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan Selangor sejak Dato’ Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar bagi penggal kedua pada 21 Ogos.

Belanjawan Selangor 2024 yang memperuntuk RM2.53 bilion memuatkan sebahagian besar tawaran penting tersebut, manakala program lain dalam manifesto tersebut akan dilaksana sepanjang penggal ini.

Bertema Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, belanjawan itu merancang pembangunan ekonomi berasaskan pertanian moden, aeroangkasa, rel dan kenderaan elektrik, robotik, automasi, kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui dan e-sukan.

Selain memperkasa latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk anak muda, Kerajaan Negeri juga menunaikan tekadnya menjulang agama Islam. Kelas pengajian kitab klasik (turath) diperluas ke setiap daerah di Selangor.

Bagi menjaga kebajikan rakyat, lebih 45 inisiatif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) diteruskan dengan sejumlah peruntukan tambahan. Dalam Tawaran Kita Selangor, kerajaan bercadang meningkatkan lagi ISP kepada 60 inisiatif.

Namun banyak juga usaha menarik dalam belanjawan negeri yang tidak disenarai dalam manifesto, antaranya, inisiatif Gagasan Rumpun Selangor yang menyasar usaha menyemarak perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pemerkasaan TVET diterjemah dengan penstrukturan semula Universiti Selangor menjadi Universiti Industri Selangor. Demi menyemarak syiar Islam pula, RM2 juta disediakan untuk menaik taraf pentadbiran 20 masjid kariah kepada masjid pengurusan.

Dalam tempoh 100 hari, lima janji penting yang dilunaskan ditumpukan untuk pemimpin masjid, ibu bekerja, mahasiswa, petani serta nelayan dan juga penduduk berpendapatan rendah.

Elaun bulanan 760 imam ditingkatkan RM200 kepada RM1,500 seorang, manakala 1,900 pegawai masjid mendapat tambahan RM50 sebulan seorang kepada RM340 (bilal), RM300 (nazir) dan RM290 (siak).

Seramai 5,000 wanita bekerja dengan tiga anak bawah 12 tahun menerima insentif sekali bayar RM1,000 seorang dalam program MamaKerja. Bantuan e-baucar buku sebanyak RM200 seorang memanfaatkan 1,000 mahasiswa yang memerlukan.

Bantuan RM1,000 seorang diberikan kepada petani dan nelayan dengan pecahan RM500 tunai dan bakinya menerusi input peralatan.
Selain itu, pengecualian cukai taksiran 426,656 unit kediaman kos rendah dan rumah kampung memberi kelegaan kepada rakyat dengan kesan kewangan RM29.4 juta.

Sempena 100 hari pentadbiran, sebahagian program penting seperti berikut

Belanjawan Selangor 2024
■ Kajian kebolehlaksanaan rel pantai barat Selangor * RM3 juta
■ Pendidikan teknikal dan vokasional IKTISASS* RM13.85 juta
■ 200,000 pelajar terima Program Tuisyen Rakyat Selangor * RM10 juta
■ Bantuan wang, caruman KWSP pemandu e-panggilan* RM1 juta
■ Program turath (kitab klasik) ke semua daerah* RM2 juta
■ Menaikkan insentif haji * RM3 juta
■ Senggara kemudahan desa dan jalan luar bandar * RM4 juta
■ Selangor sebagai pusat dron Asia Tenggara* RM2 juta
■ Membangunkan Taman Aero Selangor*
■ Projek taman industri terselia* (luas 3,383.85 ekar)
■ Tubuh liga e-sukan setiap daerah* RM1 juta
■ Pembangunan Mahasiswa Selangor RM24.9 juta
■ Membina loji proses sisa pepejal kepada tenaga RM4.5 bilion
■ Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) RM108 juta
■ Bantuan Sekolah Negeri Selangor RM26.5 juta
■ Jajaran paip dari Klang ke Pulau Indah
RM300 juta
■ Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor RM520,000
■ Merangka Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor RM1 juta
■ Karnival Gagasan Rumpun Selangor di setiap daerah RM4.5 juta
■ Usaha diiktiraf Unesco bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat RM2 juta

 dimuatkan dalam manifesto

Program dirancang dalam manifesto
■ Bantuan RM1,500 untuk mahasiswa
■ 2,000 orang terima insentif latihan RM1,500 sebulan
■ Kelas pembelajaran bahasa percuma
■ Biasiswa al-Ghazali untuk pelajar agama
■ Sumbangan khas sekolah agama bagi tingkat infrastruktur
■ Latihan pengasuh dan kemudahan jagaan kanak-kanak
■ Kerjasama dengan Putrajaya bina Pelabuhan Pulau Carey
■ Jajaran rel dari lapangan terbang KLIA ke Tanjung Sepat dan Sungai Pelek


Pengarang :