SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 113,318 permohonan Rumah Selangorku disenarai dalam kategori senarai menunggu setakat ini, kata EXCO perumahan.
Borhan Aman Shah berkata ia adalah jumlah keseluruhan permohonan yang masih aktif berdaftar dalam Sistem Permohonan Hartanah Selangor dan belum ditawarkan kepada pembeli.
“Jumlah itu masih rendah berbanding jumlah unit Rumah Selangorku yang diluluskan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 180,000 unit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Mengulas lanjut Borhan berkata Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menyediakan garis panduan dan syarat pemilikan Rumah Selangorku.
“Ia termasuk pemohon atau pasangan belum memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan atau swasta di Selangor.
“Selain itu ia turut membabitkan beberapa kategori iaitu permohonan rumah jenis A (pendapatan isi rumah suami dan isteri tidak melebihi RM3,500) dan jenis B (pendapatan isi rumah suami dan isteri tidak melebihi RM7,000).
“Jenis C (pendapatan isi rumah suami dan isteri tidak melebihi RM10,000) dan jenis D, E dan E Khas (pendapatan isi rumah suami dan isteri tidak melebihi RM14,500),” katanya.