Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli (tiga, kanan) merasmikan Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 17 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASELANGORSUKANKINI

32 bot, 326 anak kapal sertai kejohanan perlumbaan kapal layar edisi ke-33

KLANG, 17 NOV: Sebanyak 32 kapal layar membabitkan 320 anak kapal dari dalam dan luar negara menyertai Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 bermula hari ini.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berkata perlumbaan sehingga 26 November depan itu bermula dari Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah.

“Semua peserta akan berlayar melalui kawasan luar pesisir di tiga negeri iaitu Perak (Pulau Pangkor), Pulau Pinang, Kedah (Langkawi) dan di pantai Selangor sepanjang 260 batu selama tiga hari.

“Acara tahun ini akan dimeriahkan lagi dengan program FAM Trip iaitu para peserta jalani aktiviti membersih sungai sekitar kawasan Klang bersama anak-anak istimewa,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Raja Muda Selangor International Regatta 2023 di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Menurut Suee Lim, penganjuran kejohanan bertujuan mempromosi kebudayaan, kesenian dan warisan Selangor kepada peserta antarabangsa serta meningkatkan sektor pelancongan negeri.

“Ia sejajar dengan kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!” yang menjurus ke arah menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan yang ideal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dianjurkan sejak 1990, RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua Asia dan paling sukar di Asia Tenggara.

Ia dicetuskan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.


Pengarang :