Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Datuk Ahmad Kamal Idris berucap ketika Majlis penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

4,000 kelas Tabika Kemas dijangka ikuti program hafal al-Quran tahun depan

SHAH ALAM, 5 NOV: Sebanyak 4,000 kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijangka mengikuti program Tabika Pra Tahfiz Kemas pada tahun hadapan.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata pelaksanaan program hafazan dengan kerjasama bersama Yayasan Pahang itu bertujuan melahirkan huffaz cilik.

“Buat masa ini, program menyemai cintakan al-Quran bermula dari zaman kanak-kanak telah laksana di 100 kelas sebagai projek rintis dan guru-guru yang terlibat menerima latihan daripada Yayasan Pahang.

“Kita mempunyai 10,840 kelas Tabika Kemas dan jangka pelaksanaan program ini akan diperluas ke 4,000 kelas masing-masing pada 2024 dan 2025 manakala selebihnya merupakan kelas bukan Islam tetapi juga dilengkapi dengan pendidikan kerohanian,” katanya.

EXCO Kemajuan Desa dan Perpaduan Datuk Rizam Ismail (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Datuk Ahmad Kamal Idris menyampaikan cek cura dan hadiah kepada johan Anugerah Pintar Botani Peringkat Kebangsaan 2023 ketika Majlis penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 5 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas majlis penutup Hari Potensi Tabika Kemas peringkat kebangsaan yang dirasmikan EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail di Dataran Kemerdekaan, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan satu memorandum perjanjian (MOA) akan dimeterai bersama Yayasan Pahang di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Sri Batu Kuala Lumpur pada Selasa depan dengan disaksi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, beliau berkata Tabika Kemas sentiasa komited untuk memastikan modul pembelajaran kekal relevan seiring peredaran semasa.

“Pada 2016 kita laksana transformasi pembelajaran seperti patriotik dan keyakinan diri yang mewajibkan semua Tabika Kemas mengikuti modul tersebut.

“Kemudian, kita perkenal modul pembelajaran seperti program kemahiran dan vokasional (TVET) dengan memperkenalkan beberapa tema seperti automotif, agrosains dan penerbangan.

“Kedua-dua program ini saling melengkapi supaya anak-anak khususnya daripada luar bandar dapat didedahkan dengan program TVET di awal usia,” katanya.


Pengarang :