Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melancarkan Skim INSAN Takaful di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

62 penerima nikmati pampasan skim insurans negeri

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Semakin ramai rakyat mendapat manfaat program Insurans Am Selangor (INSAN). Diperkenal Oktober tahun lepas, polisi insurans berkelompok itu melindungi enam juta orang, setakat 30 September.

Mana-mana rakyat Selangor berusia seawal 30 hari hingga 80 tahun yang berdaftar dengan INSAN, boleh mendapat pampasan sekiranya hilang upaya kekal atau kematian akibat kemalangan.

Turut ditawarkan INSAN Takaful untuk tiga juta rakyat negeri beragama Islam. Pendaftaran selama setahun dibuka sejak 4 Ogos.

Menerusi peruntukan RM9 juta daripada Kerajaan Selangor, Skim INSAN Takaful menawar perlindungan antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi kes kematian atau kes hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian bagi kes kematian serta tambahan faedah RM50 sehari sehingga 30 hari untuk kemasukan wad.

INSAN memaklumkan pemegang sijil insurans sedia ada akan ditukarkan ke perlindungan takaful secara automatik setelah tamat tempoh perlindungan di bawah pelan konvensional.

Sejak diluncur, Kerajaan Negeri menyelesaikan 62 kes melibatkan nilai tuntutan RM680,000 daripada RM12 juta yang diperuntuk Skim INSAN Konvensional.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop ketika menyampaikan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada waris penerima pampasan kematian Eeliani Noordin di Batu Arang, Rawang pada 3 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 3 Oktober, Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya menerima 129 tuntutan sejak Januari.

Namun, ada beberapa permohonan masih diproses disebabkan ketiadaan lesen memandu, cukai jalan dan beberapa dokumen lain yang memerlukan penelitian lanjut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atau wakil MBI ada menyerahkan sendiri pampasan RM11,000, termasuk RM1,000 untuk khairat kematian kepada beberapa waris pemegang polisi.

Rata-ratanya ialah pemegang kad pengenalan, pemastautin atau pengundi berdaftar Selangor yang terkorban akibat kemalangan di beberapa lokasi dalam negeri ini.

Ana Maria Salihuddin, 36, menerima cek cura daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 4 Ogos, Amirudin menyerahkan pampasan RM11,000 kepada Ana Maria Salihuddin, 36, yang ibu dan bapanya maut akibat kemalangan di Sungai Leman, Sungai Besar pada Mac.

Penyerahan dibuat dalam majlis pelancaran INSAN Takaful ketika perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang.

Jumlah sama turut diberi kepada ibu kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana Eeliani Noordin. Anaknya, Muhammad Hassif Yaakob maut akibat kemalangan motosikal pada 9 Ogos.

Siswa 21 tahun itu maut di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya melanggar kenderaan pelbagai guna kira-kira jam 5.50 petang pada hari kejadian. Saipolyazan menyerahkan pampasan di kediaman wanita itu di Batu Arang, Gombak.

Suzana Sueb, 42, menunjukkan surat pengesahan wang pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sambil diperhatikan anak perempuannya ketika ditemui di Sekinchan pada 30 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Pampasan untuk fidyah

Sementara itu, waris kepada lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang maut akibat kemalangan di Parit 4, Sekinchan akhir Mei lalu menerima pampasan RM11,000.

Suzana Sueb, 42, berkata dia mahu membayar fidyah puasa dan melangsaikan hutang arwah hasil persetujuan bersama ibu serta adik beradik lain.

Waris enam mangsa yang terkorban dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan dekat Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022 juga bakal menerima pampasan INSAN. Mereka hanya perlu menunggu proses dokumentasi diselesaikan.

Syarikat AmGeneral Insurance Berhad yang menyedia skim itu membayar terus kepada pihak dilindungi polisi atau warisnya. Bagi INSAN Takaful, perlindungan disediakan Takaful Ikhlas General Berhad.

MBI hanya sebagai agensi pelaksana manakala pengendali perkhidmatan Wavepay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavepay) yang mendapat kelulusan Bank Negara, tidak terlibat dalam sebarang pembayaran tuntutan.

*Laporan dibantu Norrasyidah Arshad, Siti Rohaizah Zainal dan Zareef Muzammil


Pengarang :