Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

75 kertas siasatan dibuka berhubung sebaran berita palsu, isu 3R

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 75 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu dan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dibuka setakat 1 November, menurut timbalan menteri komunikasi dan digital.

Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, 45 kes telah selesai dan 30 kes lagi masih dalam siasatan polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Selain itu dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu sebanyak 3,752 kandungan berkaitan penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian bersifat 3R diturunkan oleh platform media sosial di bawah Seksyen 233 Akta 588.

“Tindakan diambil berdasarkan aduan awam dan tindakan penurunan kandungan disusuli SKMM dengan kerjasama platform media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram, X dan Youtube,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu undang-undang digunakan untuk mengawal isu 3R di platform media sosial dan perbincangan awam di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu Nie Ching berkata pihaknya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Menangani Berita Palsu pada 1 Disember tahun lalu bagi memantau berita palsu yang mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, agama, budaya, keselamatan dan kedaulatan negara.

Menjawab soalan Zahari Kechik (PAS-Jeli) yang ingin tahu status liputan capaian internet 4G dan 5G, beiau berkata liputan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di Kawasan Berpenduduk (COPA) seluruh negara mencapai 73 peratus sehingga 31 Oktober lalu.

“Pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB di seluruh negara sedang dijalankan secara berperingkat dan kebanyakannya tertumpu di kawasan berkepadatan tinggi dan mempunyai aktiviti ekonomi berdampak tinggi,” katanya.


Pengarang :